Contoh Penulisan SPM

Soalan :  Anda telah dilantik sebagai pengawas sekolah.

Sebagai pengawas, bincangkan peranan anda untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yang berdisiplin.

Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum penulisan ini dihasilkan. Antaranya :

1. Dimensi penulisan : Dimensi individu, dimensi keluarga, dimensi masyarakat dan negara, dimensi global.

2. Isu : Topik perbincangan semasa.

3. Tema : Pokok perbincangan utama dasar soalan.

4. Fokus Isi : Idea besar yang perlu dikaitkan kepada tema dan fokus berdasarkan arahan soalan.

Contoh perenggan pendahuluan.

Kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan khususnya sekolah hendaklah diukur berdasarkan beberapa kriteria utama. Antara kriteria tersebut ialah kecemerlangan akademik,peningkatan dalam bidang kokurikulum dan kewujudan budaya sekolah dengan mengutamakan aspek 3K. Komponen 3K yang meliputi aspek kebersihan, keselamatan dan keceriaan boleh menjadi budaya cemerlang kepada sekolah berkenaan. Namun demikian, semua perkara di atas tidak akan lengkap tanpa komitmen semua warga sekolah terhadap ketahanan disiplin para pelajarnya. Oleh itu, disiplin bolehlah dianggap sebagai enjin kedua yang bakal memacu sesebuah sekolah mencapai kejayaan dalam pelbagai aspek. Sebagai pelajar, saya sangat bersyukur kerana terpilih menganggotai badan pengawas sekolah. Pemilihan tersebut amat menuntut komitmen saya untuk memberikan yang terbaik agar dapat menjadi mata dan telinga dalam usaha memantapkan disiplin para pelajar.


Perenggan isi mesti mengandungi :

Satu ayat khusus sebagai fakta isi utama.
Empat hingga enam ayat sokongan yang menghurai isi utama.
Satu ayat penutup perenggan.
Penanda wacana : penanda wacana setara/penyambung, penanda wacana penyokong, penanda wacana berlawanan, penanda wacana alih atau penanda wacana penegasan


Contoh perenggan isi.

Langkah terpenting yang bakal saya pegang ialah sentiasa berwaspada dengan doktrin buat apa-apa yang saya arahkan dan jangan ikut apa-apa yang saya lakukan. Tingkah laku yang seolah-olah ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul adalah suatu pegangan yang bersifat kepimpinan menyalahi teladan. Sebaliknya, sebagai pemimpin kecil di sekolah, saya hendaklah memperkemas dan memperlengkap diri dengan sifat-sifat sahsiah yang terpuji. Dalam pembinaan sahsiah yang terpuji, saya hendaklah menyedari bahawa tingkah laku yang baik hendaklah berjalan seiringan dengan pencapaian akademik yang cemerlang. Kedua-dua mekanisme tersebut menjadi teras yang membolehkan saya sentiasa menjadi contoh dan 'role model' kepada pelajar-pelajar yang lain. Apabila timbul rasa segan dan hormat dalam kalangan teman dan rakan, justeru mudahlah saya mendominasikan segala agenda yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Sesungguhnya saya sangat akur akan kata-kata peribahasa, lulus jarum luluslah kelindan yang bermaksud jikalau kepala sudah baik nescaya yang mengekorinya pun pasti baik.





Bersambung ......................

Kredit untuk Haji Ishak bin Md Shah.
Contoh Penulisan SPM

0 comment... add one now