Idea Untuk Tugasan PT3 Geografi Kawasan Bandar

Salam sejahtera,

Sudah lebih seminggu Tugasan PT3 Geografi dijalankan, bermakna masa untuk menyiapkan tugasan tersebut semakin suntuk. Namun masih ada pelajar PT3 yang terkial-kial untuk menyiapkannya.




Mengapa ?

Di internet carian jawapan tugasan ini masih lagi tinggi permintaannya. Maka berlambak-lambaklah blogger yang cuba menggunakan keyword "contoh jawapan tugasan pt3 geografi 2015" sebagai tema artikel atau tajuk artikel mereka. Setelah dibaca, kebanyakkannya sampah. Ada yang copy & paste content orang lain. Termasuklah artikel blog ini juga di plagiat.

Ramai pelajar PT3 yang membuat carian di internet merasa kecewa dengan hasil dapat carian mereka. Tidak menepati kehendak mereka.

Wahai pelajar PT3 !

Sedarlah bahawa anda dikehendaki membuat kajian lapangan di tempat tinggal anda. Tentunya tidak ada jawapan yang paling tepat ditemui. Tiada siapa yang tahu atau tiada siapa yang akan terfikir tentang kegiatan ekonomi di tempat anda. 

Siapa peduli dengan kegiatan ekonomi dan potensi kegiatan ekonomi kawasan Paka ?

Siapa peduli dengan kegiatan ekonomi yang berpotensi dimajukan di Kampung Satatok?

Siapa peduli dengan kegiatan ekonomi yang berpotensi dimajukan di kawasan Taman Alam Megah , Shah Alam ?

Pelajar PT3 sekalian,

Anda perlu bangun, ambil pen dan kertas, keluar rumah, lihat sendiri apa yang ada di kawasan anda. Perhatikan pekerjaan penduduk kawasan anda. Tanya penduduk kawasan anda bagaimana untuk menambah pendapatan mereka dan anda sendiri perlu berfikir menggunakan otak kiri dan otak kanan apakah potensi kawasan anda sendiri.

Jangan malas. Jangan tiru.  Jangan ambil jawapan/pendapat orang lain. 

Anda perlu buat semuanya sendiri dengan bimbingan guru geografi anda.

Tanya pendapat guru geografi anda jika anda masalah. Ikut kehendak guru geografi anda kerana mereka yang akan menilai hasil kerja anda. Mereka yang akan memberi gred A atau E kepada hasil kerja anda.

Apa yang ada di internet hanya panduan asas sahaja. Ada panduan yang ditulis oleh guru dan ada panduan yang ditulis oleh mereka yang mencari trafik blog.

Ha ha ha ... jangan marah jika terasa !

Calon PT3 kawasan bandar !

Anda menghadapi masalah untuk menentukan kegiatan ekonomi kawasan anda ?

Ya ! Itu memang masalah anda. Anda dapati tiada aktiviti pertanian, perlombongan dan perikanan di bandar. 

Anda berasa bidang kajian anda sempit dan anda berasa hampir tiada aktiviti kegiatan ekonomi yang boleh dimajukan di tempat tinggal/taman perumahan anda.


Latar belakang kegiatan ekonomi di kawasan bandar.

Anda perlu sedar bahawa hampir semua penduduk bandar bekerja. Ada suami isteri keluar bekerja dari jam 6.30 pagi dan balik ke rumah pada jam 6.30 petang.

Sebahagian besar penduduk di kawasan bandar bekerja sebagai kakitangan swasta, kakitangan kerajaan, peniaga, pekerja kilang atau pekerja profesional dalam bidang perkhidmatan.

Bermakna kegiatan ekonomi kawasan bandar adalah perdagangan/perniagaan, perindustrian dan sektor perkhidmatan.  


Cadangan usaha-usaha untuk meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan bandar.

Untuk menjawab bahagian ini anda perlu membuat sedikit kajian. Tanyalah pada ibu bapa atau jiran anda.

Apakah pekerjaan utama penduduk kawasan anda ?

Apakah masalah penduduk setempat kawasan anda ?

Apakah perkhidmatan yang mereka perlukan ?

Ia berdasarkan teori permintaan dan pasaran.

Jika anda tinggal di kawasan elit  bandar utama dan penduduk kawasan anda adalah golongan profesional dan tokoh korperat, agak sukar untuk menjawab bahagian ini. 

Mereka semua kaya raya dan tidak perlukan pendapatan tambahan.

 Anda boleh cadangkan aktiviti perniagaan yang berbentuk perkhidmatan seperti pakej pengurusan jenazah, pakej belajar ilmu agama di rumah, pakej tuisyen di rumah, dan perkhidmatan menjaga warga emas. 

Tambahan - ejen insuran

Jika anda tinggal di kawasan penduduk berpendapatan sederhana dan penduduk kawasan anda adalah penjawat awam, kakitangan swasta dan peniaga anda boleh cadangkan aktiviti berikut sebagai usaha meningkatkan pendapatan :

Perniagaan online, ejen insuran, kerja lebih masa, kerja tambahan hari minggu seperti, servis lipat baju, servis penghantaran makanan ke rumah, jualan makanan, servis mencuci rumah, servis memotong rumput, servis menjaga bayi, servis menjaga warga emas, car boot sale, servis mencuci kereta dari rumah ke rumah, pakej tuisyen di rumah, pakej belajar al quran dirumah, pakej pengurusan jenazah dan pelbagai lagi aktiviti lain.

Logiknya , pada hari cuti Sabtu & Ahad ramai yang ingin berehat bersama keluarga. Tentunya perkhidmatan tersebut diperlukan supaya mereka boleh berehat panjang.

Untuk mereka yang mempunyai kemahiran, mereka boleh tambah pendapatan dengan menyediakan servis penyenggaraan kenderaan dari rumah ke rumah, servis pendawaian elektrik dan baiki peralatan elektrik, servis penyenggaraan pendingin hawa dan servis baiki paip (plumber). 

**Pilihlah mana-mana yang sesuai dengan kawasan kajian anda. Huraiannya anda buat sendiri.

Kegiatan ekonomi yang berpotensi dimajukan di kawasan kajian anda dan alasannya.

Anda  dikehendaki mencadangkan aktiviti lain yang berpotensi untuk dimajukan.

1. Fertigasi.
Menanam pokok di dalam polibeg sesuai untuk kawasan yang sempit seperti taman perumahan dengan kos yang rendah. Kaedah ini boleh dijalankan secara bertingkat-tingkat. Sangat sesuai untuk tanaman makanan seperti cili merah, cili padi, pandan, kucai dan kacang panjang. Kaedah fertigasi sesuai untuk diusahakan penduduk kawasan perumahan dan berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu kegiatan ekonomi.
  

2. Pakej Pengurusan Jenazah.
Adalah menjadi tanggungjawab yang hidup untuk menguruskan yang mati. Setiap kali berlaku kematian, masyarakat Islam di kawasan perumahan akan mengalami kesukaran untuk menguruskan jenazah. Ini disebabkan lebih 80% orang Islam lelaki dewasa kawasan tersebut bekerja mengikut waktu pejabat. Yang ada hanyalah suri rumah, warga emas dan kanak-kanak. Tambahan pula tidak ramai penduduk yang mampu dan tahu menguruskan jenazah. Saya berpendapat pakej pengurusan jenazah sangat berpotensi untuk dimajukan sebagai sumber pendapatan di kawasan perumahan untuk memudahkan penduduknya.

3. Perkhidmatan Menjaga Warga Emas.
Ramai anak sayangkan ibu bapa mereka. Mereka tidak sanggup menempatkan ibubapa di rumah orang tua kerana takut digelar anak durhaka. Oleh yang demikian ada anak akan membawa kedua ibu bapa tinggal bersama mereka. Namun anak itu  tidak dapat menjaga kedua ibu bapa sepenuh masa kerana bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Perkhidmatan Menjaga Warga Emas atau Pusat Penjagaan Sementara Warga Emas perlu diwujudkan dan amat berpotensi untuk dimajukan sebagai satu kegiatan ekonomi. Perkhidmatan ini dapat membantu mengatasi masalah warga emas (ibu bapa) terabai.


4. Penjualan/Penghantaran Makanan Bergerak.
Sibuk urusan harian - tidak sempat memasak - letih bekerja - makan diluar - makan sendirian. Penyediaan makan bergerak - hantar ke rumah - hantar ke pejabat - mudah. Berpotensi - hasil lumayan. Atasi masalah penduduk - sibuk.

Untuk idea di atas, sila bina ayat sendiri untuk mengelakkan ciplak/plagiat. Jangan copy dan paste.

Sila share artikel ini sebagai tanda terima kasih anda kepada saya.

Awas, Guru Geografi anda juga membaca artikel ini. 

Terima kasih.

2 comments.. read them below or add one

AnonymousAnonymous 3 July 2015 at 00:48
adakah kegiatan tersebut harus berdasarkan soal selidik ? ataupun apa apa boleh ah?
Unknown Unknown 3 July 2015 at 05:48
Sebaik-baiknya berdasarkan soal selidik namun ia bergantung kepada kreativiti sendiri.